1. Kisah Perang Badar yang Hebat
Semasa di Madinah, Islam semakin berkembang dan ramai yang memeluk agama Islam. Bila Islam semakin kuat, kaum Quraisy di Mekah mula berasa tak puas hati, lalu berlakulah beberapa peperangan. Peperangan ini bukan hanya berlaku sekali atau dua kali, tetapi banyak kali.
2. Sirah Perang Badar
Perang Badar berlaku pada 17 Ramadan, tahun kedua selepas Hijrah Nabi Muhammad SAW ke Madinah. Bayangkan, di bulan Ramadan, ketika umat Islam sedang berpuasa, mereka turut pergi berperang. Perang ini berlaku di lembah Badar, terletak di antara Madinah dan Mekah. Ini adalah peperangan pertama umat Islam melawan kaum kafir Quraisy.
3. Punca Perang Badar
Ketika umat Islam berhijrah ke Madinah, mereka terpaksa meninggalkan harta benda mereka di Mekah. Orang Quraisy mengambil harta tersebut dan berdagang di Syam. Mereka mendapat untung besar daripada perniagaan itu.
Dalam perjalanan pulang ke Mekah, rombongan dagang Quraisy melalui kawasan berhampiran Madinah. Orang Islam di Madinah mendapat tahu tentang rombongan ini dan merancang untuk merampas semula harta mereka yang diambil dan dijual oleh Quraisy.
Berita ini sampai ke telinga Abu Sufyan, ketua rombongan dagang dari Mekah. Dia meminta bantuan dari Mekah dan Abu Jahal mengumpulkan 1000 tentera untuk menyelamatkan rombongan Abu Sufyan. Nabi Muhammad SAW bersiap dengan 313 orang tentera Islam untuk berhadapan dengan tentera Quraisy di lembah Badar.
4. Perang Badar Bermula
Di Arab, peperangan biasanya dimulakan dengan menghantar wakil dari setiap pasukan untuk bertarung satu lawan satu.
Wakil dari tentera Islam ketika itu ialah:
- Ubaidah bin Al-Haris,
- Ali bin Abi Talib,
- Hamzah bin Abdul Muttalib.
Ketiga-tiga mereka berjaya mengalahkan wakil dari tentera Quraisy. Selepas itu, peperangan besar-besaran berlaku. Bayangkan, 313 orang tentera Islam melawan 1000 tentera Quraisy.
Dengan izin Allah, tentera malaikat yang menyerupai tentera Islam datang membantu. Orang Quraisy melihat tentera Islam kelihatan ramai, walaupun sebenarnya sedikit. Akhirnya, tentera Islam berjaya menang dengan cemerlang. Mereka berjaya membunuh 70 tentera Quraisy dan menangkap 70 orang tawanan.
Namun, 14 sahabat gugur syahid dalam pertempuran ini.
5. Pengajaran dari Perang Badar
Pengajaran penting dari Perang Badar ialah kita harus sentiasa yakin kepada Allah. Allah berkuasa melakukan apa sahaja. Walaupun tentera Islam sedikit, Allah menghantar malaikat untuk membantu mereka. Apabila kita berjuang kerana Allah, pasti Allah akan bersama kita.












Post a Comment